KOTA BHARU: Ibu bapa dan penjaga di negara ini dinasihat supaya tidak memandang remeh terhadap bayi mereka yang lambat bercakap kerana ia mungkin petanda awal bayi berkenaan mengalami pekak.
Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan, berkata walaupun kebanyakan ibu bapa mengganggap lambat bercakap adalah perkara biasa terhadap sesetengah bayi, tidak semua bayi bernasib baik.
"Bayi yang lambat bercakap atau biasa disebut 'berat mulut' sebenarnya perlu diberi perhatian. Sepatutnya usia satu tahun sudah boleh mengeluarkan bunyi yang sepatutnya walaupun tidak jelas.
"Banyak dalam kalangan masyarakat anggap berat mulut perkara biasa dan apabila anak itu masuk usia tiga tahun tapi masih belum bercakap, ia boleh dianggap sudah terlewat dan kanak-kanak itu mungkin akan menjadi pekak dan seterusnya bisu kerana tidak pernah mendengar orang lain bercakap dan berkomunikasi," katanya di sini hari ini.
Dr Ghazali Hasni berkata, bayi yang dikesan lambat bercakap perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan segera bagi memastikan bayi berkenaan tiada masalah pendengaran.
Katanya, rawatan sebaik-baiknya dilakukan sebelum usia lima tahun kerana selepas usia itu kanak-kanak mungkin tidak lagi mampu memanfaatkan alat pendengaran yang diberi.
Beliau berkata, penduduk pantai timur dan Kelantan khususnya, mempunyai kemudahan untuk membuat pemeriksaan dan rawatan telinga termasuk pembedahan khas yang dikenali sebagai Cochlear Transplan di HRPZ II dengan kos yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
"Di HRPZ II, kami menyediakan rawatan telinga khas iaitu Cochlear Implant Services untuk membantu bayi atau kanak-kanak yang pekak ini. Ia adalah sejenis implan yang ditanam di dalam telinga dan akan kekal sepanjang hayat," katanya.
Beliau berkata, kos bagi satu alat itu mencecah RM70,000 tidak termasuk kos pembedahan dan sehingga kini pembedahan yang bermula pada tahun 2009 itu telah membantu lapan kanak-kanak pekak di negeri ini menjalani kehidupan normal. - BERNAMA
thanks for this info.Ms writer.
ReplyDeletebitte schon..
ReplyDelete